Geoge Attram mungkin satu nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan tetapi penyerang dari Ghana itu sudah mula menunjukkan taringnya untuk muncul sebagai salah seorang penyerang prolifik dalam Liga Perdana musim ini.

Hatriknya ketika Selangor II menumbangkan Skuad Projek FAM-MSN 4-2 semalam telah melonjakkannya selaku pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Perdana dengan lima gol selepas tiga perlawanan.

Attram, 20, yang disunting daripada kelab Accra Lions, kini sudah mula meletakkan sasarannya untuk meledakkan 15 gol musim ini sebagai salah satu misinya bersama Selangor II.

"Saya menetapkan tidak kurang daripada 15 gol musim ini. Buat masa ini, saya fikir saya sudah berada di landasan yang tepat dan berharap dapat meneruskannya," katanya kepada Astro Arena.

"Tujuan saya menetapkan 15 gol adalah untuk tidak memberikan terlalu banyak tekanan buat diri saya, jadi disebabkan itu saya memilih jumlah berkenaan."