Sporting CP mengesahkan bahawa bintang muda kelab itu, Gelson Martins, telah menandatangani pembaharuan kontrak selama lima tahun bagi melenyapkan khabar angin pemain itu akan berhijrah hujung musim ini.

Gelson dikatakan telah menjadi sasaran Manchester United, Real Madrid dan Barcelona sejak setahun lalu selepas pemain itu membuat penampilan pertama pada Ogos 2015.

Bijak mengawal bola di samping memiliki larian pantas, pemain berusia 21 tahun itu telah pun membuat penampilan bersama skuad senior Portugal, Oktober lalu.

Kini, selepas disahkan akan kekal di Sporting selama beberapa tahun, kelab yang berminat dengan khidmatnya perlu membayar €60 juta (RM285 juta) jika mahu menebus kontraknya.

Sementara itu, Sporting turut mengesahkan telah menandatangani khidmat pertahanan Sunderland, Sebastian Coatas, secara tetap setelah meminjamnya awal musim ini.

Pemain Uruguay itu akan kekal di Portugal sehingga 2022.