Atletico Madrid selesai menandatangani Matheus Cunha daripada Hertha Berlin dengan bayaran €26 juta (RM128.7j).

Cunha, yang merupakan penjaring terbanyak skuad B-23 Brazil, menyertai pasukan kendalian Diego Simeone itu menerusi perjanjian lima tahun dan mampu menawarkan sokongan kepada Luis Suarez di jentera serangan.

Spekulasi mengaitkan pemain berusia 22 tahun itu dengan Everton, Atalanta dan Napoli tetapi juara bertahan LaLiga berkenaan berjaya memujuknya selepas usaha memancing Dusan Vlahovic menemui jalan buntu.

Cunha pada mulanya berpindah ke Eropah untuk beraksi di samping kelab Switzerland, Sion, kemudian bergabung dengan RB Leipzig sebelum ke Hertha pada 2020.

Pada musim lalu, penyerang serba boleh itu meledak lapan kali selain menjelmakan enam bantuan gol dalam 28 perlawanan untuk di carta kedua senarai penjaring terbanyak Hertha di belakang Dodi Lukebakio yang mempunyai koleksi 12 gol.

Penyerang Brazil itu mencipta 54 peluang -- 18 lebih banyak daripada rakan sepasukan, Vladimir Darida -- untuk meletakkannya di tempat keenam antara penyerang terbaik di Jerman.


Cunha juga menggandakan sentuhan pemusnahnya dalam kotak penalti lawan tahun lalu apabila menghasilkan 98 berbanding 53 peluang pada tahun sebelumnya.





Bagaimanapun, skil gelecekannya paling mencuri tumpuan.

Sejak ketibaannya di Berlin pada 31 Januari 2020, hanya lima penggempur dalam lima liga utama Eropah yang mampu menandingi 123 usaha Cunha iaitu 60 peratus disempurnakan.

Tiada pemain dalam Bundesliga yang dapat menandingi kemahirannya itu tatkala Yannick Carrasco merupakan satu-satunya pemain Atletico yang menyempurnakan lebih 100 gelecekan dalam masa yang sama.

Cunha berkemungkinan akan diletakkan sebagai penyerang kedua, mungkin sebagai pelapis Angel Correa dalam misi Los Colchoneros memburu gelaran LaLiga berturut-turut.