Gelaran EPL terlalu jauh -- Tuchel sasar rapatkan jurang dengan empat pasukan teratas

Muzaffar Musa
Januari 28, 2021 01:29 MYT
Pengurus baru Chelsea, Thomas Tuchel, berkata fokusnya ketika ini hanyalah untuk mengecilkan jurang pasukannya dengan kelompok empat teratas dan bukannya mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tuchel dilantik sebagai ketua jurulatih baru skuad The Blues itu semalam selepas Frank Lampard dipecat. Tidak lama selepas itu, dia mengemudi Chelsea ketika terikat 0-0 dengan Wolves di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Walaupun merekodkan 79 peratus penguasaan bola dan 820 hantaran -- rekod tertinggi bagi mana-mana pengurus EPL dalam perlawanan pembukaan mereka sejak musim 2003-2004-- pasukan tuan rumah itu masih gagal memecahkan benteng lawan kendalian Nuno Esprito Santo.
Keputusan itu meletakkan Chelsea di tangga kelapan EPL selepas hanya memenangi lapan daripada 20 perlawanan musim ini.
Tuchel menepis tanggapan bahawa pasukannya mampu mengecilkan jurang 11 mata dengan pendahulu liga, Manchester City -- yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- dan berkata fokusnya kini hanyalah untuk merampas kedudukan keempat milik West Ham, yang kini berkelebihan lima mata.
"Kejuaraan? oh ia terlalu jauh, kita pada masa sama perlu realistik," katanya dalam sidang media.
"Apabila anda menandatangani sebagai pengurus Chelsea, sebetulnya anda menandatangani untuk mecabar gelaran seperti EPL, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan piala lain.

A point to start.#CHEWOL pic.twitter.com/wlDSWdcpcO

— Chelsea FC (@ChelseaFC) January 27, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ia amat jelas tetapi pada masa sama kita perlu realistik bahawa terdapat banyak pasukan di antara kami dan kedudukan keempat.
"Jadi, ia mungkin masa terbaik untuk kami melonjakkan kedudukan pada pertengahan musim seperti ini, jangan hilang fokus dan melihat terlalu ke depan.
"Kekal seperti ini dan berusaha setiap hari mengenai perincian dan perkembangan dalam permainan kami dan matanya akan menyusul.
"Saya amat pasti kami mempunyai kapasiti bersama skuad ini untuk mengancam mana-mana lawan dalam liga dan kejohanan lain. Ia tugas saya untuk membuktikan perkara itu sebaik mungkin tetapi ia secara sedikit demi sedikit," katanya.
#Chelsea #Thomas Tuchel #Wolves #Liga Perdana Inggeris