Persaraan Alex Ferguson pada penghujung musim 2012-2013 dianggap sebagai permulaan zaman kejatuhan Manchester United oleh ramai pihak.

Namun, tidak ramai mengetahui yang Ferguson sebenarnya pernah membuat keputusan untuk bersara sejak tahun 2001 lagi.

Dalam autobiografinya, Ferguson menjelaskan faktor utama dia mahu bersara ketika itu adalah kerana selepas kejayaan skuad United merangkul tiga trofi dalam satu musim -- juara Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah -- dia berasakan tidak ada apa-apa lagi pencapaian lain yang harus dikejarnya.

Pada tahun itu, satu perkara penting yang turut disebutnya merupakan sesuatu yang cukup relevan buat United masa kini.

"Sewaktu saya mahu bersara pada tahun 2001, kesilapan terbesar saya adalah mengumumkan keputusan itu kepada pemain-pemain saya pada awal musim.

"Sepanjang musim itu, pemain-pemain saya tidak lagi bermain dengan sepenuh jiwa dan raga, kerana dalam minda mereka terngiang-ngiang satu hakikat -- Ferguson tidak akan lagi bersama kami pada hujung musim ini."

Kita kembali kepada skuad United musim 2021-2022 sekarang.

Ralf Rangnick, pengurus baru mereka, telah diumumkan sejak awal lagi bahawa dia hanya akan mengendalikan skuad selama enam bulan.

Dia membawa bersamanya sistem “Gegenpressing” yang terbukti keberkesanannya, namun memerlukan komitmen dan daya usaha teramat tinggi untuk dijayakan -- sistem yang melelahkan dan tidak pernah dipraktikkan oleh skuad United sebelum ini.

Tidakkah terngiang-ngiang di minda pemain -- "Untuk apa segala usaha dan kelelahan ini dilaburkan buat seorang pengurus yang tidak lagi akan bersama kami dalam beberapa bulan akan datang?"



Dalam dua perlawanan United menentang Newcastle dan Wolverhampton sebelum ini, temu bual pasca perlawanan bersama Rangnick mengandungi satu ucapan yang sama -- "Kami tidak memberikan tekanan kepada pihak lawan."

Menurut akhbar The Daily Mail, analisis yang dilakukan oleh Opta Sports menggambarkan keengganan pemain United untuk mematuhi sistem “Gegenpressing” sejelas-jelasnya.

Satu atribut penting yang diperhatikan adalah “Opposition Passes per Defensive Action (PPDA)” atau secara mudahnya, jumlah hantaran bola yang berjaya dilakukan oleh pihak lawan ketika United sedang bertahan.

Dalam perlawanan pertama kendalian Rangnick menentang Crystal Palace, United berjaya memaksa pihak lawan untuk melakukan 10 hantaran sahaja secara purata, satu tanda yang pemain-pemain nekad untuk mengaplikasikan sistem “Gegenpressing“ ini pada awalnya.

Namun, dalam perlawanan menentang Burnley, purata jumlah hantaran lawan telah meningkat kepada 20.6 dan sewaktu kekalahan menentang Wolverhampton, nilainya adalah 16.



Kesimpulannya di sini?

Pemain-pemain United masih belum menguasai sistem “Gegenpressing” ini dengan baik ataupun sama sekali tidak komited untuk mengamalkannya!

Menurut satu sumber media yang lain, Rangnick dikhabarkan telah meluahkan pendapat bahawa dia berasakan tempoh waktu untuk dia mengubah United tidak mencukupi.

Selain waktu yang singkat, dia turut mengesan elemen mementingkan diri dalam sesetengah pemain -- satu masalah yang sebenarnya turut dikesan oleh Jose Mourinho sejak awal lagi.

Artikel-artikel yang lalu membincangkan kemungkinan bahawa pemain-pemain seperti Edinson Cavani dan Jesse Lingard mahu terus kekal bersama United atas dasar kepercayaan mereka terhadap Rangnick, namun perkembangan terkini menunjukkan yang mereka serta beberapa pemain lain seperti Juan Mata, Anthony Martial dan Paul Pogba sudah tidak sabar-sabar lagi untuk meninggalkan kelab.

Kita simpulkan masalah yang dihadapi United secara ringkas -- semangat pemain-pemain semakin hari semakin merudum, pemain-pemain berantakan dan membentuk ‘geng’ masing-masing, pemain-pemain enggan komited dalam mengamalkan sistem yang dimahukan pengurus di samping sebilangan besar pemain hanya menunggu waktu untuk meninggalkan kelab.

Seharusnya United sedar bahawa apa yang melanda mereka ketika ini adalah satu krisis yang bakal menjadi semakin lama semakin parah.