Susulan kemenangan 4-1 ke atas Hellas Verona dalam aksi liga awal pagi tadi, pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso, yakin peluang pasukannyauntuk menewaskan Juventus dan menjulang Piala Itali.

Skuad Rossoneri itu menjaringkan dua gol dalam setiap babak untuk memastikan San Siro menjadi saksi Verona diturunkan ke Serie B pada musim depan.

Mereka akan berdepan Juve dalam final pada 10 Mei ini tatkala lawan pastinya akan cuba untuk mempertahankan kejuaraan yang telah diraih selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini.

Milan pula kini di posisi terbaik untuk menerima slot Liga Europa musim depan sekiranya menundukkan Juve, namun Gattuso percaya ia tidak akan menjadi sesuatu yang mudah.

“Kami mahukan Piala Itali tetapi akan berdepan dengan pasukan hebat seperti Juventus,” kata Gattuso kepada Mediaset Premium.

“Mereka memiliki kelebihan berbanding kami, namun Milan berada di tahap terbaik untuk aksi final itu. Saya yakin bahawa pasukan lebih kuat tidak semestinya menang dalam aksi akhir.

“Hari ini, kami melihat pasukan beraksi lebih bebas,” ujarnya.

Milan bakal menerima semula kehadiran Suso selepas kecederaan yang dialami pada minit ke-58 sewaktu berdepan Verona dilaporkan tidak begitu serius, sambil Patrick Cutrone kembali ke senarai penjaring sejak Mac lalu.

“Saya gembira melihat kemarau jaringan ditamatkan tetapi apa yang penting hari ini adalah kemenangan,” ujar Cutrone.

“Kemenangan ini membantu kami daripada segi mentaliti untuk mempersiapkan diri bagi aksi final dan akan cuba untuk membawanya pulang.”