Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, mahu anak-anak buahnya bangkit selepas mempamerkan prestasi buruk ketika bertemu Arsenal dalam aksi Liga Europa, Jumaat lalu.

Milan tewas 0-2 di tempat sendiri dalam aksi pertama pusingan 16 itu, sekali gus menamatkan rentetan 13 perlawanan tanpa kalah.

Mereka kini berpeluang untuk kembali ke landasan terbaik apabila bertandang ke Genoa malam ini tatkala Rossoneri kini menduduki tangga ketujuh liga.

Gattuso menuntut agar skuad bimbingannya menjadikan Genoa sebagai mangsa kebangkitan susulan kekalahan di tangan pasukan kendalian Arsene Wenger itu.

“Saya dapat lihat pemain-pemain marah dan kecewa. Mereka berlatih dengan gigih dan tidak dapat menerima kekalahan itu. Kami mencipta 16 peluang tetapi hanya satu yang menuju ke pintu gol. Sentuhan penyudah amat diperlukan.

“Kami bersemangat untuk menjaringkan gol di depan 73,000 penyokong dan mencapai kemenangan tetapi saya rasa kekalahan ini akan membantu kami terus berkembang.

“Apa yang penting, kami harus fokus dalam pertemuan dengan Genoa. Kami akan memulihkan tenaga dan bersedia untuk perlawanan malam ini,” kata Gattuso.

Dalam masa sama, Genoa dilihat bukan lawan yang mudah ditandingi kerana mereka kini memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir di bawah kendalian Davide Ballardini dan mengelakkan diri daripada zon penyingkiran.

“Genoa beraksi baik bersama Ballardini. Walaupun tidak banyak mencipta peluang, mereka tampil agresif dan bersedia untuk mendapatkan bola.

“Andrey Galabinov dan Goran Pandev menjadi pemain penting dalam pasukan mereka, jadi ia akan menjadi aksi yang getir,” tambahnya.