Gennaro Gattuso kekal fokus terhadap aksi AC Milan tatkala menunggu pihak pengurusan kelab berbincang dengannya mengenai kontrak baru.

Bekas tonggak tengah Rossoneri itu diberikan peranan selaku ketua jurulatih sehingga akhir musim ini selepas Vincenzo Montella dipecat pada November lalu, menyaksikannya mengemudi pasukan mara sehingga pusingan kedua Liga Europa.

Dia sebelum ini melaungkan kebanggaan dapat membimbing pasukannya sementara pengarah sukan, Massimiliano Mirabelli, mendedahkan bahawa dia mahu bekas pemain kebangsaan Itali itu kekal di San Siro, namun sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan.

“Saya tidak memikirkan tentangnya,” kata Gattuso menjelang aksi bertemu Chievo hari ini.

“Tiada masalah, saya hanya fokus kepada kerja dan pengarah tahu di mana untuk mencari saya.

“Saya harus meneruskan tugas, meyakinkan pemain bahawa mereka adalah kelompok yang bagus. Mereka adalah satu anugerah. Setiap pemain berjuang bersama-sama saya dan mempercayai setiap apa yang saya ucapkan.”

Chievo kini berada di tangga ke-15 Serie A tetapi Gattuso menjangkakan perlawanan yang sukar menanti Milan dalam usaha untuk merapatkan kedudukan ke kelompok empat terbaik.

“Perlawanan ini adalah satu perangkap kerana Chievo tidak berada di kedudukan yang sepatutnya dalam carta dan mereka bekerja keras.

“Kami harus melakukan segala perkara untuk menang. Pastinya sukar untuk meraih tiga mata sebelum berehat bagi aksi antarabangsa,” tambahnya.