Gennaro Gattuso Berasakan bahawa AC Milan perlu menampilkan aksi luar biasa untuk menundukkan pendahulu Serie A, Juventus, awal pagi esok.

Juve kini meraih kelebihan dua mata di puncak liga mengatasi Napoli di tangga kedua dan berada dalam prestasi terbaik untuk menjulang trofi liga buat kali ketujuh berturut-turut.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu sadweqwhanya tewas sekali di laman sendiri sejak 2015 dan Gattuso sedar akan kesukaran yang bakal dihadapi anak-anak buahnya walaupun bertandang ke tempat lawan berbekalkan catatan kemenangan dalam lima aksi terakhir.

“Juventus adalah pasukan yang hebat dan sukar ditewaskan dalam enam tahun terakhir.

“Saya yakin jika kami beraksi pada tahap terbaik, mereka juga akan menghadapi masalah untuk berdepan Milan.

“Kami harus memiliki sikap rendah diri dan menghormati lawan yang lebih hebat berbanding kami dan bermain sebagai satu pasukan. Kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dan memerlukan permainan yang sempurna,” kata Gattuso.

“Kami telah menyediakan dua atau tiga perancangan taktikal yang berbeza untuk berdepan Juve. Mereka mempunyai pemikiran untuk menang dan tidak gentar akan sebarang cabaran. Juventus tidak akan memikirkan aksi Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid.

“Untuk pertama kali, Leonardo Bonucci akan beraksi menentang Juventus dan ia normal. Aksi di Allianz akan menjadi sesuatu yang berbeza buatnya.

“Kami harus bermain secara menyerang dan bertahan untuk menyaingi mereka. Jika sekadar bertahan, kami akan berdepan masalah,” katanya lagi.