Bekas raja pecut dunia, Usain Bolt, adalah salah seorang atlet terhebat sepanjang zaman, menurut bekas bintang kriket terkenal, Joel Garner.

Pelari dari Jamaica itu menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di London bulan ini dengan harapan untuk meraih emas sebagai hadiah perpisahan pada penamat kariernya.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik apabila sekadar meraih gangsa menerusi acara 100 meter selepas ditewaskan oleh Justin Gatlin, sebelum gagal membantu Jamaica meraih emas 4x100m akibat kecederaan.

Namun, legasinya dalam olahraga tidak boleh dipertikaikan dan Garner, pemain kriket terkemuka dunia pada era 70-an dan 80 an, percaya pencapaian Bolt akan meletakkannya sebaris dengan legenda terhebat dunia dan diingati sampai bila-bila.

“Jika anda melihat semula, 12 tahun berada di kemuncak adalah sebuah dedikasi yang menakjubkan,” kata Garner.

“Dia akan menamatkannya sebagai salah seorang atlet terhebat sepanjang zaman.

“Malangnya, dia mengalami kecederaan dan pada awalnya, saya menyangka dia telah cedera sejak awal kerana tidak nampak bagus dan normal.

“Bagi saya, Bolt adalah inspirasi yang hebat dan bukti jika anda berusaha keras dan tekun, anda akan dapat melakukan apa sahaja,” katanya.