Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, menepis khabar angin yang mendakwa kehadiran Frank Bernhardt ke Kelantan adalah sebagai persediaan awal menggantikan ketua jurulatih, Choi Moon-sik jika prestasi pasukan berada pada tahap tidak memuaskan.

Tegas Norizam, pihak pengurusan TRW sehingga kini masih lagi menaruh kepercayaan penuh kepada pengendali kelahiran Korea Selatan itu dan optimis gandingan Moon-sik dan Bernhardt selaku pengarah teknikal mampu menjelmakan hasil lebih positif selepas ini.

Untuk rekod, selepas tamat lima perlawanan, Kelantan kini menghuni kedudukan ke-10 liga hasil satu kemenangan, satu seri serta tiga kali tewas.

Norizam dalam perkembangan sama turut mengesahkan tonggak import kelahiran Indonesia, Natanael Siringoringo akan kembali memperkuat pasukan ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dijadualkan kembali dibuka pada Julai depan.

"Saya masih lagi berpuas hati dengan apa yang diusahakan oleh Moon-sik, setakat ini tiada lagi sebarang tindakan yang akan diambil," katanya.

"Di sudut pemain import, ada yang menghadirkan prestasi yang baik dan terdapat juga telah saya hubungi mereka perlu meningkatkan lagi kemampuan kerana kehadiran mereka untuk mempamerkan permainan yang lebih berkualiti berbanding pemain tempatan."