LEICESTER 2 SEVILLA 0 (agregat 3-2)

Jorge Sampaoli meratapi kegagalan Sevilla menyempurnakan sepakan penalti ketika menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Leicester City, awal pagi tadi.

Sevilla hadir ke perlawanan timbal balik pusingan kalah mati itu dengan mendahului 2-1, namun pasukan tuan rumah bangkit dengan menjaringkan dua gol menerusi Wes Morgan dan Marc Albrighton untuk membawa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke suku akhir.

Sepuluh minit sebelum perlawanan berakhir, penjaga gol The Foxes, Kasper Schmeichel, menghadiahkan sepakan penalti kepada Sevilla apabila menjatuhkan Vitolo di dalam kotak penalti.

Namun, dia menebus kesilapannya dengan memastikan Steven N'Zonzi gagal menyempurnakan sepakannya.

Ini merupakan kali kedua Sevilla gagal menjaringkan sepakan penalti selepas Joaquin Correa gagal menembusi Schmeichel dalam perlawanan pertama di Ramon Sanchez Pizjuan.

"Jika kami menyempurnakan kedua-dua sepakan penalti, berkemungkinan kami sudah mara ke suku akhir," kata Sampaoli.

"Kami telah mencuba pemain untuk mengambil sepakan penalti, namun gagal menewaskan Schmeichel.

"Dalam perlawanan ini, banyak perkara yang kami gagal laksanakan. Kami tidak menghasilkan banyak peluang untuk menjaringkan gol."