Minggu lalu, kekalahan berturut-turut Manchester United disebut sebagai rekod paling teruk dalam tempoh satu abad, namun pada minggu ini, rekod Liverpool pula yang diberikan tumpuan ramai.

Kegagalan Liverpool untuk memenangi walau satu pun perlawanan dalam tiga percubaan merupakan sesuatu yang berlaku buat kali pertama sejak musim 2012-13.

Punca utama adalah tidak lain tidak bukan, krisis kecederaan pemain.

Pada musim 2020-21, kecederaan yang melanda hampir kesemua pemain pertahanan The Reds telah mengakibatkan mereka mengharungi satu tempoh sukar yang berpanjangan sebelum akhirnya stabil semula di penghujung musim dan sempat untuk bergelut merampas tangga ketiga liga.

Ketika ini, antara pemain penting yang tercedera adalah Joel Matip dan Ibrahima Konate di bahagian pertahanan, Thiago Alcantara, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain di bahagian tengah serta Diogo Jota di bahagian serangan.

Tidak harus dilupakan, Sadio Mane telah berpindah ke Bayern Munich manakala penyerang baru, Darwin Nunez, digantung tiga perlawanan gara-gara kad merah dalam perlawanan menentang Crystal Palace.

Gara-gara kecederaan ini, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, terpaksa menurunkan pemain veteran, James Milner, yang sudah pun berusia 36 tahun di samping pemain-pemain muda seperti Harvey Elliot dan Fabio Carvalho.


Hakikatnya, pemain-pemain ini tidak berupaya membantu Liverpool menunjukkan prestasi penuh mereka.

Sewaktu menentang Manchester United, kita dapat melihat barisan pemain Liverpool gagal menandingi pemain lawan daripada segi kepantasan dan sifat agresif -- sesuatu yang tidak menghairankan berlaku jika pemain yang diturunkan mengalami kekurangan daripada segi kecergasan fizikal ataupun pengalaman.

Faktor kedua adalah kelonggaran barisan pertahanan. Agak janggal menggunakan ayat ini bagi menggambarkan Liverpool.

Bukankah barisan pertahanan mereka disebut-sebut sebagai paling kukuh dalam seluruh liga?

Namun, menurut laporan The Guardian, Liverpool telah bolos terlebih dahulu dalam tujuh perlawanan berturut-turut, bermula dari penghujung musim lalu lagi.

Setelah bolos, mereka terpaksa melaraskan mentaliti untuk mengejar -- sesuatu yang agak mencabar untuk dilakukan saban perlawanan.

"Dalam setiap perlawanan, kami membenarkan pihak lawan untuk menjaringkan gol terlebih dahulu dan menyebabkan kami terpaksa berhempas-pulas menyamakan kedudukan.

"Perkara ini harus berubah pada kadar segera."

Begitulah kata-kata pemain bek kiri Liverpool, Andy Robertson, dalam menggambarkan kesukaran yang pasukan mereka alami ketika ini.

Faktor ketiga membawa kita kembali kepada apa yang telah disebutkan tadi -- krisis di bahagian serangan.


Ketiadaan Mane musim ini sungguh jelas terasa, Jota masih belum pulih manakala Nunez tidak pasti boleh diharapkan atau tidak.

Cuba kita lihat daripada segi statistik dan membandingkan Liverpool dengan kelab paling cemerlang ketika ini, Manchester City.

Menurut analisis Opta, Liverpool mencatatkan purata 17.3 percubaan ke gawang lawan musim ini manakala City pula sebanyak 18.

Daripada segi penguasaan bola, Liverpool mencatatkan purata 70% manakala City hanya lebih sedikit dengan 70.5%.

Namun, daripada segi percubaan tepat dan jumlah gol dijaringkan, City selesa menduduki tangga tertinggi manakala Liverpool berada di tangga ke-10 dengan hanya 4.3 percubaan.

Jurgen Klopp sendiri merumuskan dengan tepat masalah mereka sewaktu beraksi di Old Trafford: "Sebelum percubaan ke gawang lawan dilakukan, kami bermain seperti mengikut rancangan tetapi masalahnya berlaku di saat percubaan cuba dilepaskan."

Kecederaan pemain, kelemahan pertahanan dan ketumpulan serangan, tiga faktor yang mendorong kepada kehambaran Liverpool setakat ini.

Jika tiada inisiatif untuk mengatasi kesemua ini, usah terkejut jika Liverpool akan terus terkapai-kapai.