SMGB Group sah menyertai keluarga Kelab Futsal Pahang Rangers (PRFC) setelah menandatangani perjanjian sebagai penaja utama pasukan itu bermula musim 2021.

Kerjasama PRFC bersama syarikat berasaskan penerokaan dan perlombongan mineral itu dimeterai dalam satu majlis ringkas minggu lalu.

Dalam majlis berkenaan, PRFC telah diwakili oleh presidennya, Yang Amat Mulia Tengku Fahd Mua'adzam Shah, manakala SMGB Group pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lee Chung Han.

Menerusi kerjasama berkenaan, SMGB Group bukan sahaja menghulurkan tajaan berbentuk wang tunai untuk memperkasa PRFC, yang akan beraksi dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), malah kedua-dua pihak akan terlibat dalam menganjurkan klinik, akademi mahupun program-program khusus untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru futsal, terutama dari kalangan masyarakat orang asli di Lanchang.

Kedua-dua pihak juga akan terlibat dalam menyokong konservasi gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Sebagai rekod, Pahang Rangers, yang diperkuat dengan himpunan pemain kebangsaan, muncul naib juara edisi sulung MPFL pada 2019 dan menyasarkan untuk bergelar juara pada musim berikutnya.

Namun, saingan musim 2020 terpaksa dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan pandemik COVID-19.