Daniel Iversen dan Callum Lang muncul wira Oldham Athletic selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Fulham 2-1 daripada saingan Piala FA, semalam.

Selepas tiada jaringan dihasilkan dalam separuh masa pertama di Craven Cottage, kelab Liga Dua (tahap keempat di England) itu ketinggalan apabila Denis Odoi menjaringkan gol selepas menerima hantaran daripada Floyd Ayite.

Pete Wild, yang merancang untuk hadir ke perlawanan sebagai penyokong Oldham sebelum dilantik sebagai pengendali sementara menggantikan Frankie Bunn yang dipecat 10 hari lalu, menyaksikan skuad kendaliannya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti.

Fulham turut diberikan sepakan penalti ketika perlawanan berbaki enam minit, bagaimanapun Aleksandar Mitrovic gagal meletakkan pasukannya di depan selepas Iversen berjaya membaca gerakan sepakan penyerang itu.

Oldham kemudian menyempurnakan kemenangan pada minit ke-88 apabila Lang berjaya menampan masuk hantaran Gevaro Nepomuceno, sekali gus menyingkirkan skuad bimbingan Claudio Ranieri itu.