Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan tiada aksi peringkat kumpulan bagi format Piala Malaysia 2022 yang menyaksikan semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran dalam pusingan 16 pasukan.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang sukar menawarkan MFL sebarang ruang untuk penangguhan.

Justeru, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL, sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta memastikan pencegahan kecederaan pemain.



MFL mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia, Khamis lalu, dan memaklumkan bahawa hujan lebat dijangka berlaku bermula bulan ini hingga Disember 2022.

Sehubungan itu, format Piala Malaysia 2022 akan dimainkan bermula dalam pusingan 16 pasukan secara timbal balik sekali gus tiada perlawanan peringkat kumpulan pada tahun ini.

Sekiranya Kuala Lumpur City layak ke perlawanan akhir Piala AFC, maka kejohanan edisi ke-101 itu bakal membuka tirai bermula 25 dan 26 Oktober 2022.