Pertahanan West Ham United, Jose Fonte, mendedahkan bahawa tiada siapa yang terlepas daripada pemerhatian Mauricio Pochettino ketika sesi latihan kerana pengendali itu menggunakan kamera di seluruh padang latihan.

Fonte bermain di bawah bimbingan Pochettino di Southampton pada musim 2013/14 sebelum pengurus dari Argentina itu berhijrah ke Tottenham Hotspur.

Dalam satu sesi temubual bersama BBC, Fonte menyifatkan cara yang unik itu digunakan untuk mendapatkan maklumat dengan lebih jelas mengenai pemain-pemain.

"Seluruh pusat latihan dilengkapi kamera.

"Jika Pochettino memberikan anda kelengkapan latihan tetapi anda tidak menggunakannya dan pergerakan badan anda tidak lancar, dia akan memanggil anda ke pejabatnya.

"Di kantin? Ia ada di mana-mana sahaja. Dia memerhatikan anda di mana-mana sahaja," ujar Fonte.

Pochettino merupakan individu yang bertanggungjawab memacu kejayaan Southampton menduduki tangga kelapan ketika itu dengan menggunakan pemain seperti Fonte, Adam Lallana, Luke Shaw dan Dejan Lovren, sekaligus muncul sebagai kedudukan terbaik kelab itu selepas lebih satu dekad.

"Dia akan meletakkan tangan di bahu anda dan membuatkan anda berasa istimewa. Ia bagus.

"Saya masih ingat Shaw diibaratkan seperti anaknya. Lallana, Lovren dan saya sendiri memiliki hubungan yang baik dengannya. Dia juga tegas apabila perlu," tambah Fonte.