BRIGHTON 1 MAN CITY 4

Phil Foden sedang menikmati beraksi sebagai titik tumpuan di bahagian serangan yang sarat dengan bintang di dalam kem Manchester City, malah meraih pujian daripada pengurus, Pep Guardiola, selepas meniupkan inspirasi kepada pasukannya untuk meraih kemenangan di Brighton & Hove Albion.


Produk akademi itu sekali lagi bermula di posisi penyerang dalam pertemuan di Stadium Amex, awal pagi tadi, untuk menjaringkan gol keduanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kemenangan 4-1.

Foden melepaskan lapan percubaan dan empat daripadanya menuju ke sasaran, tetapi dia gagal mencari jalan untuk melepasi Robert Sanchez dalam separuh masa kedua untuk memburu hatrik.

Pemain antarabangsa England itu, bagaimanapun, mencipta gerakan buat pemain gantian, Riyad Mahrez, pada lewat permainan untuk gol keempat City.

"Saya menikmatinya. Saya boleh turun lebih ke bawah, mendapatkan bola dan memilih hantaran. Ia peranan baru buat saya dan saya boleh katakan bahawa saya sangat menikmatinya," katanya kepada Sky Sports.

"Ia akan sentiasa berubah dalam setiap perlawanan. Kadang-kadang saya kekal di posisi yang lebih tinggi daripada biasa, tetapi dalam perlawanan ini pihak lawan bertindak mengawal setiap pemain jadi saya turun lebih ke bawah dan saya fikir kami menggunakan pemain tambahan itu dengan baik.

"Pada hari yang berbeza saya mungkin dapat meledak tiga gol, tetapi apa yang paling penting adalah keputusannya dan saya gembira kami berjaya hari ini."




Foden telah tampil sebanyak sembilan kali untuk City musim ini dengan memulakan enam daripadanya selain memainkan peranan dalam menghasilkan lapan gol -- hanya Mahrez (sembilan) yang telah mencipta lebih banyak gol dan bantuan jaringan buat kelab musim ini.

Guardiola bersetuju dengan Foden bahawa dia sepatutnya menambah jumlah golnya ketika menentang Brighton, tetapi pengurus dari Catalan itu gembira dengan langkah yang diambil oleh pemain berusia 21 tahun tersebut.

"Ada pemain yang beraksi di satu posisi dan ada pula yang bermain bola sepak. Apabila anda bermain bola sepak ia bermakna anda boleh bertindak di mana-mana posisi sekalipun, anda akan memahami permainan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanannya.

"Di bahagian pertiga akhir, dia mampu beraksi di barisan hadapan, memiliki kualiti untuk bergerak dan menjadi agresif ketika satu lawan satu dan tiba ke dalam kotak penalti. Dia mampu bertindak sebagai pemain nombor sembilan tiruan, pemain sayap, kiri kanan atau lebar lebar.

"Dia seorang pemain tengah yang bersemangat tinggi untuk menjaringkan gol. Dia menghasilkan dua jaringan dan patut mencetak lebih banyak lagi, tetapi dia masih muda dan masih mempunyai ruang untuk meningkat."

Dua gol Foden itu hadir selepas Ilkay Gundogan membuka jaringan yang menyaksikan City mendahului tiga gol dalam masa 31 minit.

Alexis Mac Allister membalas satu gol daripada sepakan penalti sembilan minit sebelum tamat permainan selepas Ederson menjatuhkan Enock Mwepu sebelum gol Mahrez menyusul untuk pasukan pelawat pada lewat permainan.