Phil Foden kembali berada dalam perancangan Southgate selepas menghasilkan jaringan berganda bersejarah ketika England menewaskan Iceland 4-0 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Wembley awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pemain tengah England berusia 20 tahun itu mengakui bahawa detik dia tersingkir daripada skuad itu sewaktu menentang lawan sama pada September lalu masih menjadi "salah satu momen paling sukar" dalam hidupnya.

Foden bersama pemain muda Manchester United, Mason Greenwood, ketika itu diarahkan untuk meninggalkan kem latihan England kerana melanggar protikol koronavirus selepas kemenangan 1-0 di Reykavic.

Pemain muda Manchester City itu kembali ke aksi kompetitif bersama England awal pagi tadi menentang lawan sama dan memaparkan aksi gemilangnya untuk membuka akaun gol antarabangsanya dengan dua jaringan menarik pada lewat permainan.

Selepas membantu jaringan pembukaan Declan Rice -- gol pertama pemain tengah West Ham itu bersama England -- Foden menyudahkan hantaran Jadon Sancho untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum menggandakan gol itu menerusi jaringan daripada sudut sukar.

Dengan dua gol itu, Foden menjadi pemain termuda dalam sejarah bola sepak England menjaringkan lebih daripada satu gol di Wembley tetapi buat perancang tengah itu, dia lebih berasa lega kerana dapat membalas kepercayaan pengurusnya, Southgate.

"Ia berlaku dalam salah satu perlawanan terbaik dan ia amat bermakna buat saya," kata Foden kepada Sky Sports.

"Saya tidak berhenti tersenyum selepas menjaringkan gol, ia satu perasaan yang luar biasa dan saya hanya mencuba dan menikmatinya sebanyak mungkin.

"(Insiden di Iceland) merupakan salah satu momen paling sukar dalam hidup saya. Pada ketika itu saya memerlukan kepercayaan daripada pengurus dan Gareth amat menghormati saya dan ia amat bermakna buat saya. Saya hanya mahu membalas kepercayaannya dengan gol dan beraksi baik.

"Saya bersemangat untuk kembali beraksi dan melakukan yang terbaik.

"Saya agak gugup pada awalnya untuk menyertai kem ini tetapi saya tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri," katanya.

England menamatkan saingan Kumpulan A2 UNL ditangga ketiga walaupun mereka belum pernah tewas dalam perlawanan terakhir setiap tahun sejak tumbang 0-1 kepada Jerman pada 2013.

Dengan Mason Mount turut menemui sasaran dalam perlawanan itu, ia juga merupakan kali pertama tiga pemain di bawah usia 21 tahun menjaringkan gol buat England dalam satu perlawanan sama sejak melakukannya ke atas Ireland pada 1883.