Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan jadual perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super terpaksa ditunda sehingga bulan Jun serta Julai kerana Johor Darul Ta'zim (JDT) terikat dalam dua aksi Piala AFC, bulan depan.

Ramai peminat tidak gembira dengan perubahan tarikh perlawanan terbaru Liga Super pada saat-saat akhir bagi memberi laluan kepada satu lagi aksi persahabatan skuad negara berdepan Nepal yang dijadualkan 1 April ini.

Paling ketara, ada persepsi terhadap tarikh perlawanan itu sengaja diubah selepas pintu perpindahan kedua pemain dibuka agar JDT dapat mendaftar pemain import baru bagi menghadapi Pahang, yang semakin konsisten dalam saingan Liga Super.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, menafikan tohmahan itu sambil menjelaskan mereka tiada ruang untuk menginjak dua aksi itu pada April, sama seperti perlawanan Liga Perdana, kerana komitmen JDT dalam saingan Piala AFC.

"Realitinya, perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini terpaksa ditangguhkan kerana saingan Piala AFC dan aksi perlawanan persahabatan antarabangsa" kata Kevin.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, Pahang turut memiliki pemain import yang mengalami kecederaan jangka panjang," ujarnya.

Selain itu, Kevin menjelaskan ia bukan satu masalah besar aksi persahabatan pasukan negara diadakan di luar tarikh kalendar FIFA.

Justeru, perlawanan persahabatan yang dirancang skuad negara tetap akan dikira dalam ranking dunia FIFA.

"Perlawanan persahabatan A tidak semestinya dilakukan di luar jadual FIFA, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa."