Persatuan Bolasepak Mexico (FMF) menggantung penyokong daripada menghadiri perlawanan di laman Queretaro selama setahun sebagai hukuman rasmi berikutan insiden keganasan yang berlaku dalam perlawanan Liga MX di venue itu hujung minggu lalu.

Insiden keganasan itu berlaku dalam perlawanan melibatkan dua pasukan Guadalajara, iaitu Queretaro dan Atlas, sehingga ada penyokong yang masuk ke padang dan seramai 26 penyokong dilaporkan cedera dalam pergaduhan besar-besaran itu.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggesa "keadilan segera' dan mengecam tindakan kedua-dua pihak yang terlibat dengan pergaduhan jelik itu.

Presiden Liga MX, Mikel Arriola, dan Presiden FMF, Yon de Luisa, mengumumkan hukuman itu hari ini, di mana ia berkuatkuasa serta-merta, termasuk di peringkat wanita dan akar umbi.

Sekumpulan penyokong yang dinamakan "Barras" juga digantung selama tiga tahun daripada mengunjungi stadium itu dan turut dikenakan penggantungan selama setahun daripada memasuki stadium-stadium lain.

Kumpulan pemilik Queretaro juga telah diarahkan untuk memindahkan kawalan pasukan itu kepada pemilik sebelumnya. Kelab itu juga perlu dijual sebelum penghujung 2022 jika tidak mahu ia diambil alih liga berkenaan.

Pemilik terkini itu telah disingkirkan susulan dilarang untuk terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Mexico untuk beberapa tahun akan datang.

"Apa yang berlaku minggu lalu bukan sahaja membahayakan nyawa ramai pihak tetapi ia juga merosakkan reputasi negeri Queretaro, rakyat dan kelabnya, Liga MX dan bola sepak Mexico, sama ada secara nasional atau antarabangsa," kata De Luisa.

Arriolo menambah: "Kami tidak mahu ada penjenayah yang berselindung."