Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, berkata hubungan tegangnya dengan pengarah kesukanan kelab itu, Hasan Salihamidzic, sudahpun diletakkan ke tepi.

Pasukan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Lazio 2-0 awal pagi tadi untuk memenangi penentuan pusingan 16 itu dengan agregat 6-2.

Bagaimanapun, laporan sebelum dan selepas perlawanan itu didominasi oleh persoalan mengenai hubungan tegang Flick dan Salihamidzic, yang dikatakan sehingga jurulatih itu mahu meninggalkan peranannya pada penghujung musim ini.

Tetapi Flick menegaskan bahawa kedua-dua mereka sedah meletakkan ke tepi perbezaan pendapat itu dengan berkata dalam sidang media: "Kami sudah berbincang dan mahu menolak ke tepi perkara ini.

"Kini kami hanya mahu melihat ke depan dan amat optimis."

Ditanya mengenai apa yang dibincangkan mereka, Flick membalas: "Ia akan kekal secara dalaman, sudah pasti ia akan kekal secara dalaman.

"Kami sudah berbincang. Kami amat berjaya buat masa ini, kami bermain dengan baik. Kami tidak memerlukan perkara seperti ini.

"Ini adalah tindakan terbaik untuk kami, untuk pasukan ini, untuk kelab ini. Kami berdua amat lega sekarang."

Menjelang undian pusingan suku akhir Jumaat ini, Flick -- yang dikaitkan untuk menggantikan Joachim Low mengemudi skuad kebangsaan Jerman selepas saingan Euro 2020 -- menambah: "Saya amat santai kerana saya tidak dapat mengubah apa-apa.

"Lapan pasukan terbaik Eropah akan berdepan sesama sendiri. Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya dan menamatkan prestasi kami hari ini dengan kemenangan.

"Ia amat layak untuk kami ke suku akhir," tambahnya.