Hansi Flick mengesahkan akan melepaskan jawatannya selaku pengurus Bayern Munich pada akhir musim ini.

Flick berpeluang untuk mengambil alih tugas sebagai pengurus Jerman sebaik Joachim Low meninggalkan jawatannya sejurus Kejohanan Euro 2020 pada musim panas ini.

Selepas bertindak sebagai pembantu kepada Niko Kovac, Flick mengambil alih jawatan di gergasi Bavaria itu sepenuhnya sejurus pemecatan pengurus berbangsa Croatia itu pada November 2019.

Dia kemudian membawa mereka menjulang Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL), sekali gus ditawarkan kontrak baru hingga 2023.

Namun, selepas berminggu-minggu spekulasi, Flick mendedahkan dia akan angkat kaki pada hujung musim ini.

"Hari ini saya memaklumkan kepada pasukan bahawa saya ingin melepaskan kontrak saya pada musim panas ini," katanya kepada Sky selepas menang 3-2 ke atas Wolfsburg, tengah malam tadi.

"Saya sudah memaklumkan kepada pihak atasan sebaik tersingkir dalam UCL (menentang Paris Saint-Germain) minggu lalu. Saya ingin memaklumkan kepada pasukan secara peribadi.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada kelab yang memberi saya peluang untuk melatih pasukan ini."

Flick berkhidmat sebagai pembantu Low dari 2006 hingga 2014.

Pertelagahannya dengan Pengarah Sukan Kelab Bayern, Hasan Salihamidzic, juga dianggap mempercepatkan lagi pemergian pengurus itu.

Dua gol menerusi Jamal Musiala dalam babak pertama selain tolakan penyudah Eric Maxim Choupo-Moting meletakkan pelawat dalam kawalan di Volkswagen Arena.

Biarpun Wout Weghorst dan Maximilian Philipp turut mencetak gol, namun ia masih tidak mampu mengekang kemenangan pendahulu Bundesliga itu.