Flick lega Bayern Munich dapat ikat Bielefeld

Muzaffar Musa
Februari 16, 2021 00:37 MYT
Hansi Flick mengakui bahawa dia berpuas hati apabila Bayern Munich dapat menamatkan perlawanan menentang Arminia Bielefeld di atas padang bersalji di Arena Allianz dengan keputusan 3-3 awal pagi tadi.
Empat hari selepas juara Jerman itu menjulang trofi Piala Dunia Kelab di Qatar, Bayern ketinggalan 0-2 dalam keadaan ribut salji sepanjang babak pertama selepas lawan di kelompok bawahan Bundesliga itu mendahului dengan jaringan Michel Vlap dan Amos Pieper.
Robert Lewandowski mengecilkan jurang itu menerusi golnya yang ke-25 sepanjang musim ini selepas tiga minit perlawanan bersambung dan hanya seminit selepas itu, Christian Gebauer kembali memberikan pasukan pelawat berkenaan kelebihan dua gol.
Bagaimanapun, jurulatih Bayern, Flick, akhirnya menghela nafas lega apabila gol daripada Corentin Tolisso dan Alphonso Davies menyelamatkan maruah pendahulu liga itu dan mengekalkan kelebihan lima mata di depan pencabar terdekat, RB Leipzig.
"Banyak yang berlaku dalam babak pertama dan kami tidak bertahan dengan baik," kata Flick kepada syarikat penyiar, DAZN.
"Dalam babak kedua, pasukan kami kembali mempamerkan mentaliti, ia merupakan satu kegilaan.
"Hari ini, anda perlu katakan yang kami perlu berpuas hati dengan keputusan 3-3," katanya.
Dia menambah: "Kami sentiasa mempunyai perasaan bahawa kami mampu mengubah keputusan perlawanan.
"Kami boleh memberikan reaksi berbeza selepas ketinggalan 0-2 tetapi pasukan kami bukan begitu."

3- @arminia_int became just the third promoted team to score 3+ goals in an away game against FC Bayern in their Allianz Arena – only VfB Stuttgart (4-1 in May 2018) und Fortuna Düsseldorf in November 2018 (3-3) did so before. Surprise. #FCBDSC pic.twitter.com/XECf9qTXpt

— OptaFranz (@OptaFranz) February 15, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Waktu rehat singkat selepas saingan Piala Dunia Kelab ternyata menyukarkan Bayern. Skuad Bavarians itu kehilangan Thomas Muller, yang diuji positif COVID 19, dan Douglas Costa selepas pemain Brazil itu mengalami kecederaan kaki dalam sesi latihan pertengahan minggu lalu.
Dengan Leon Goretzka, Javi Martinez dan Serge Gnabry turut terpaksa diketepikan dan Jerome Boateng pula mengambil cuti kerana urusan peribadi, Flick jelas bergelut dengan kekurangan pemain.
"Apabila terdapat ramai pemain tidak dapat diturunkan, setiap pasukan pasti ada batasannya.
"Saya harap Leon Goretzka dan Javi Martinez dapat kembali menyertai latihan Khamis ini.
"Tetapi itulah yang akan berlaku dalam musim yang panjang, akan sentiasa ada kehilangan pemain," katanya lagi.
Bayern akan kembali beraksi hujung minggu ini dengan berdepan pasukan di tangga ketiga, Eintracht Frankfurt, sebelum membuka perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Lazio pada awal pagi Rabu depan.
#Bundesliga #Bayern Munich #Arminia Bielefeld #Hansi Flick