Hansi Flick tidak menganggap pentas final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu akan memainkan peranan buat Bayern Munich atau Paris Saint-Germain yang akan berhitung dalam suku akhir, awal pagi esok.

Bekas pemain sayap PSG, Kingsley Coman, mencetak gol tunggal perlawanan dalam perlawanan akhir yang ditangguhkan di Portugal, Ogos lalu, bagi menafikan mahkota Eropah sulung gergasi Ligue 1 itu -- satu-satunya perlawanan PSG gagal menemui sentuhan pemusnah selepas 43 aksi.

Mereka berpeluang untuk membalas dendam dengan jaguh Bundesliga tersebut yang akan bertindak sebagai tuan rumah dalam pertemuan ke-10 mereka itu.

Begitupun, pengurus Bayern terbabit, yang masih belum tumbang dalam UCL, mahu melanjutkan rentak kemenangan mereka kepada 20 perlawanan apabila menganggap ia sebagai cabaran baru ketika berdepan pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu.

"Saya tidak tahu sejauh perasaan pihak lawan tetapi kami tidak menganggap (perlawanan final yang lalu) adalah relevan," katanya dalam sidang akhbar.

"Ini adalah satu perlawanan baru, pasukan baru, PSG mempunyai pengurus baru, jadi ini adalah situasi yang baru.

"Kami berada dalam suku akhir UCL dan kami ingin mara ke separuh akhir, jadi kami perlu berikan fokus yang tinggi dalam kedua-dua perlawanan ini. Itulah matlamat kami dan itulah tugas kami."







Pasukan utama PSG masih dibarisi Kylian Mbappe dan Neymar, justeru Bayern akan mengambil pendekatan serupa.

Flick meminta pasukannya agar berdisiplin dengan bola dan bertenaga tanpanya biarpun dia juga ingin Bayern mempamerkan cita-cita lebih tinggi ketika menyerang.

Jaringan Leon Goretzka membantu pendahulu Bundesliga itu merekodkan kemenangan 1-0 di RB Leipzig, tetapi gawang tuan rumah diuji 14 kali berbanding sembilan oleh seteru tersebut.

"Ketika kami menguasai bola, kami perlu mempertahankan kedudukan," katanya lagi.

"Kami perlu sentiasa ingat bahawa kami boleh kehilangan bola kemudian harus merebutnya kembali secepat mungkin. Posisi pemain akan menjadi sangat penting.

"Apa yang lebih penting ialah kami tidak terlalu fokus tentang kehilangan bola sebaliknya beraksi dengan keyakinan.

"Kami harus menyerang dengan yakin -- kami harus lebih yakin, lebih bermutu daripada ketika di Leipzig.

"Pada 15, 20 minit pertama di Leipzig, kami tidak cukup mencengkam permainan, tidak menyerang dengan cukup bertenaga -- hal yang sama berlaku pada awal babak kedua. Kami akan berdepan situasi yang menuntut kami gunakan kesempatan dengan lebih baik daripada apa yang kami lakukan terhadap Leipzig."

Goretzka akan menyertai Robert Lewandowski di bilik rawatan sementara Serge Gnabry disahkan positif COVID-19.