Pertahanan Terengganu, Fitri Omar, mengakui pasukannya perlu segera menyerap tekanan apabila bertemu Kelantan untuk aksi 'derby' Pantai Timur yang dijangka menampilkan aksi penuh dramatik malam ini.

Terengganu akan bertandang ke Kota Bharu bagi pertemuan yang memang dinanti-nantikan peminat susulan kedua-dua pasukan merupakan seteru setempat.

Dua musim mewakili Kelantan pada 2014 dan 2015, Fitri menjangkakan pasukannya akan menerima tentangan sengit di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

"Penyokong akan membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kepada Kelantan. Kami tidak berasa gugup untuk menghadapi perlawanan ini dengan bantuan pengalaman beberapa pemain senior," katanya.

Fitri, yang berhijrah dari Kedah ke Terengganu musim ini, bakal menjadi taruhan utama skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim di posisi pertahanan kiri.

Dia mengakui sudah cergas sepenuhnya berbanding ketika diturunkan dalam perlawanan pertama menentang PKNS FC di laman sendiri, Sabtu lalu.

"Saya baru baik daripada demam dan bermain selama 90 minit ketika berdepan PKNS. Kami berharap untuk menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok lima pasukan terbaik," tambahnya.