Fiorentina memohon agar semua pihak "senyap dan memberi hormat" selepas timbul khabar angin yang menyelubungi kontrak baru ketua pasukan, Davide Astori, semalam.

Pemain berusia 31 tahun itu menemui ajal secara mengejut pada Ahad lalu apabila ditemui tidak bernyawa di dalam bilik hotelnya, hanya beberapa jam sebelum sepak mula di antara Fiorentina dan Udinese dalam Serie A.

Dengan laporan bedah siasat rasmi belum dikeluarkan, penyebab kematian pertahanan itu masih kabur, namun pendakwa raya Udine menganggap serangan jantung mungkin menjadi penyebab utama.

Astori dijangka menandatangani kontrak baru dengan kelab itu semalam dan laporan di media Itali mendakwa Fiorentina merancang untuk menghormati perjanjian itu dan akan menyalurkan gaji pemain antarabangsa Itali itu kepada keluarganya.

Pesuruhjaya khas Lega Calcio, Giovanni Malago, juga mengulas laporan itu dengan berkata, kontrak itu sah: "Mereka [Fiorentina] memutuskan untuk memperbaharui kontrak Astori dan wang itu akan menyokong keluarga Davide".

Bagaimanapun, Fiorentina mengeluarkan kenyataan ringkas dengan memohon semua pihak menghormati dan mengakhiri situasi ini.

Menurut kenyataan itu: "Fiorentina masih terkejut dengan situasi tragis ini, kami sekali lagi meminta agar semua pihak menghormati dan berdiam diri."