Presiden Fiorentina, Rocco Commisso, telah mendedahkan keinginannya untuk mengekalkan Dusan Vlahovic walaupun terdapat laporan bahawa pemain itu sedang diintai Tottenham dan Manchester City.

Pemain kebangsaan Serbia itu telah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Spurs, yang kini kelihatan terdesak untuk mendapatkan penyerang baru seandainya Harry Kane meninggalkan mereka untuk menyertai City dalam jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, laporan terbaru mendapati pasukan kendalian Pep Guardiola, City, dikatakan turut berminat untuk mendapatkan penyerang prolific seperti Vlahovic.

Bagaimanapun, perpindahan yang dirancang itu mungkin tidak semudah yang disangka memandangkan Fiorantina masih berhasrat untuk mengekalkan pemain bintang mereka itu.

"Saya sudah katakannya sejak hari pertama bahawa saya mahu mengekalkan Vlahovic, sama seperti saya mengekalkan Federico Chiesa," kata Commisso mengenai penyerang itu, yang kontraknya akan tamat pada 2023, kepada ANSA.

"Saya sudah bercakap dengan Vlahovic sebelum ini dan percaya dia mahu kekal di Florence tetapi apabila ia sudah melibatkan keluarga, ejen dan tawaran yang berkaitan....

"Anda tidak tahu bagaimana ia akan berakhir tetapi saya berharap dia akan kekal," katanya.