Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendapati bahawa pasukannya perlu memperkuatkan kesebelasan utama mereka dengan dua atau tiga pemain baru selepas tewas dalam final Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

United tewas 11-10 dalam penentuan sepakan penalti kepada Villarreal di Gdansk selepas perlawanan berakhir 1-1 sepanjang 120 minit -- The Red Devils menamatkan kempen 2020-21 tanpa sebarang trofi.

Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas enam daripada tujuh penentuan sepakan penalti terakhir dalam kesemua kejohanan dengan kemenangan tunggal yang diraih mereka sepanjang tempoh itu adalah ketika menewaskan Rochdale dalam Piala EFL pada September 2019.

Edinson Cavani -- yang memadamkan jaringan pembukaan babak pertama Gerard Moreno menerusi golnya pada minit ke-55 -- menjadi pemain ketiga berusia 34 tahun dan ke atas menjaringkan gol dalam final kejohanan utama Eropah selepas Gary McAllister (36) melakukannya buat Liverpool ketika final Piala UEFA menentang Deportivo Alaves dalam musim 2000-01 dan Didier Drogba (34) buat Chelsea ketika menentang Bayern Munich dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2011-12.

Pasukan gergasi EPL itu -- yang menamatkan liga musim ini selaku pasukan kedua terbaik di belakang Manchester City -- tidak memenangi sebarang trofi sejak 2017 dan sedang dikaitkan dengan beberapa pemain untuk memperkuatkan skuad mereka menjelang musim depan, antaranya Harry Kane (bintang Tottenham), Jadon Sancho (pemain sayap Borussia Dortmund) dan Pau Torres (pertahanan tengah Villarreal).

"Kami sudah melakukannya dengan sebaik yang semua orang boleh bayangkan," kata Solskjaer dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami perlu melakukannya dengan lebih baik, kami perlu berusaha dengan lebih baik, lebih kuat, lebih bijak.

"Dua atau tiga pemain lagi untuk memperkuatkan kesebelasan utama amat penting buat kami untuk pergi lebih jauh. Saya yakin pihak lawan kami juga mahu meningkatkan pasukan mereka," katanya.

Pemilihan David de Gea dalam kesebelasan utama United menimbulkan perdebatan berdasarkan persaingan daripada Dean Henderson -- yang beraksi dalam sebahagian besar perlawanan terakhir mereka musim ini.

Penjaga gol kebangsaan Sepanyol itu gagal melakukan aksi menyelamat sepanjang penentuan penalti berkenaan sebelum sepakannya dihadang penjaga gol Villarreal, Geranimo Rulli, untuk Yellow Submarine menikmati gelaran pertama mereka di peringkat Eropah.

"Anda melihat keseluruhan senario dan ia terlintas di fikiran saya untuk meningkatkan permainan tetapi kami berkeyakinan terhadap David," kata Solskjaer ketika ditanya sama ada dia memikirkan untuk membawa masuk Henderson dalam penentual penalti itu.

"Saya terikat dengan penjaga gol yang bermain dalam kesemua perlawanan."