Bintang Manchester United, Marcus Rashford, meluahkan kekecewaannya selepas tewas kepada Villarreal dalam final Liga Europa (UEL) awal pagi tadi dengan berkata menamatkan saingan itu sebagai pasukan kedua terbaik tidak bermakna apa-apa walaupun yakin The Red Devils berada di landasan tepat bersama Ole Gunnar Solskjaer

United memburu kejuaraan pertama di bawah pengurusan Solskjaer tetapi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak dapat mengatasi Villarreal kendalian Unai Emery untuk tewas 11-10 dalam penentuan sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti itu diperlukan selepas perlawanan di Gdansk itu berkesudahan 1-1 selepas masa tambahan susulan jaringan Edinson Cavani pada minit ke-55 memadamkan gol pembukaan Gerard Moreno buat Villarreal dalam babak pertama.

Penjaga gol United, David de Gea, menjadi satu-satunya pemain gagal menyempurnakan sepakan penaltinya untuk pasukan kendalian Solskjaer itu -- yang tidak pernah memenangi sebarang trofi sejak 2016-17 -- akurdengan kekalahan berkenaan.

"Ia mengecewakan. Perasaannya sukar untuk dijelaskan," kata Rashford kepada BT Sport.

"Kami datang ke sini untuk menang. Kami berusaha keras sepanjang musim ini dan ini peluang kami untuk memenangi trofi.

"Mungkin bukan kali ini tetapi kami perlu menyaksikan semula perlawanan ini dan melihat apa yang boleh dipertingkatkan.

"Pasukan ini tidak akan mengaku kalah, pengurus kami tidak akan mengaku kalah. Kami akan kembali musim depan dengan keinginan yang lebih besar.

"Ramai yang berkata mengenai Manchester United tetapi bagi saya, keinginan, bakat dan kemampuan -- kami mempunyai segala-galanya untuk beraksi di peringkat tertinggi.

"Kami hanya perlu membuktikannya kepada dunia dan diri kami mengapa kami layak berada di tempat seperti ini," katanya.

United tewas enam daripada tujuh penentuan penalti terakhir mereka dalam kesemua kejohanan dan hanya memenanginya ketika mengatasi Rochdale dalam Piala EFL pada September 2019 sepanjang tempoh itu.

"Tempat kedua tidak bermakna apa-apa. Saya tidak mahu dengar 'oh mereka sudah terlalu hampir'. Ia tidak bermakna apa-apa. Kami perlu memastikan kami tidak tewas.

"Untuk memenangi trofi besar, anda perlu berkorban. Saya boleh membuktikan kepada anda betapa ada enam atau tujuh pemain yang mengalami kecederaan sejak September lalu. Kami perlu melupakannya sekarang dan menenangkan hati kami.

"Apabila Ole tiba, terdapat satu proses. Kami percaya dengan proses itu dan ini bukanlah pengakhiran proses itu. Hanya disebabkan kami tewas hari ini, saya berjanji kepada penyokong bahawa kami tidak akan mengalah.

"Kami perlu melakukan yang terbaik di atas padang. Kami sudah hampir tetapi ia masih belum cukup bagus," katanya lagi.