Bintang Manchester City, Raheem Sterling, yakin pasukannya mampu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini dengan berkata "satu-satunya perkara yang boleh menjadi penghalang adalah diri kami".

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan seteru senegara, Chelsea, akan membuat perhitungan terakhir dalam aksi final di Porto, Portugal hujung minggu ini.

City akan turun beraksi dalam final UCL pertama mereka dan ia juga merupakan penentuan kejuaraan kejohanan utama peringkat Eropah pertama buat mereka sejak 51 tahun lalu selepas memenangi Piala Juara pada 1970 -- rekod menamatkan kemarau perlawanan final terpanjang di peringkat Eropah mengatasi Sporting CP (41 tahun).

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu telah memenangi 11 perlawanan UCL musim ini dan kemenangan ke atas Chelsea akan menyaksikan mereka menyamai rekod kemenangan terbanyak semusim yang dilakar Real Madrid dalam kempen 2001-02 walaupun pasukan gergasi Sepanyol itu beraksi dengan 17 perlawanan berbanding City dengan hanya 13 perlawanan musim ini.

"Ia kini tentang fokus untuk memenangi trofi berkenaan. Sejujurnya, satu-satunya perkara yang boleh menghalang kami adalah diri kami sendiri.

"Kami sudah berdepan mereka (Chelsea) dua kali (sejak mereka dibimbing Tuchel) dan kami tewas kedua-duanya tetapi ini adalah final UCL.

"Pada hari itu, ceritanya sudah berbeza. Anda perlu turun dengan minda yang segar. Buang segala perkara yang berlaku ketika menentang mereka sebelum ini.

"Ia satu perlawanan yang saya menjangkakan sebagai ujian sukar tetapi pada masa sama, saya jangka kami dapat melepasinya.

"Saya menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang memerlukan fizikal. Chelsea pasukan yang kuat dan memiliki pemain yang kuat daripada segi fizikal," katanya.