Thomas Tuchel enggan mengulas panjang lebar mengenai potensi kehadiran Romelu Lukaku menjelang final Piala Super membabitkan Chelsea menentang Villarreal, awal pagi esok.

Juara Eropah itu semakin hangat dikaitkan dengan penyerang Belgium tersebut dengan melibatkan bayaran setinggi £97.5 juta (RM571.63j).

Walaupun berita Lukaku kembali ke Stamford Bridge kedengaran semakin hampir, Tuchel sebaliknya memilih untuk fokus kepada skuad sedia ada sambil menegaskan dia tidak akan membincangkan sebarang berita perpindahan berpotensi.

"Saya sama sekali tidak menerima sebarang makluman," kata pengurus The Blues itu dalam sidang akhbar.

"Saya mungkin akan menolak untuk membicarakannya kerana ini adalah sidang media satu perlawanan final. Ini jelas bukan masanya untuk bercakap mengenai pasukan kami.

"Saya mempunyai banyak kepercayaan terhadap skuad ada, kami telah membuktikan bahawa kami mampu menjadi pasukan yang mantap. Saya sudah banyak kali bercakap tentang idea bagaimana kami mahu meningkatkan skuad ini, ia bukan mudah."

Dengan penghijrahan Olivier Giroud ke Milan sesudah menyumbat lima gol dalam kempen kemenangan UCL musim lalu, pakar taktikal dari Jerman itu mengakui pasukannya kehilangan ciri-ciri tertentu di jentera serangan.

Lukaku tampak sangat sesuai untuk memainkan peranan itu selepas mencetak 24 jaringan dalam 36 penampilan ketika membantu Inter menjulang Scudetto pertama mereka sejak 2009-10.





"Kita perlu menunggu dan melihat apa yang mungkin dan tidak mungkin berlaku," tambah bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Kami tidak panik, kami gembira dapat bekerjasama dan akan tiba bersama pasukan esok.

"Tiada apa perkembangan yang dimaklumkan kepada saya hari ini. Biarlah ia kekal seperti ini: Saya tidak akan bercakap mengenainya sehinggalah kita mempunyai sesuatu yang muktamadkan untuk diumumkan."

Antonio Rudiger, yang merupakan antara barisan bintang dalam kejayaan final UCL ke atas Manchester City musim lalu, turut memuji Lukaku.

"Sosoknya (Romelu Lukaku) bagaikan seorang raksasa, seseorang yang sangat tegap dan saya rasa dia telah membuktikannya di Itali sejak dua tahun kebelakangan ini," kata bek tengah itu dalam sidang akhbar pra-perlawanan, malam tadi.

"Dia melakukannya dengan baik di sana dan juga buat pasukan kebangsaannya. Dia adalah pencetak gol sejati. Bagi saya, dia adalah penyerang handalan."