PKNS FC 2 PERAK 0

PKNS FC membawa bekalan selesa menjelang final kedua Piala Presiden apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Perak dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.


Sedar dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad The Red Ants itu memulakan permainan dengan agresif sebagai usaha untuk memburu jaringan awal.

Pendekatan yang diterapkan skuad kendalian Saifulnizam Khamis itu berhasil apabila bekas pertahanan skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, membuka jaringan dengan menanduk masuk sepakan sudut Shafizi Khirudin pada minit ketiga.

PKNS kemudian meneruskan dominasi perlawanan dan berhasil menambah jaringan menerusi rembatan jarak jauh Adib Hakimi Mohd Sabri yang menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Syakir Danial Ma'amal Hajri, pada minit ke-35.

Skuad muda The Bos Gaurus itu, yang dikendalikan legenda Perak, K. Nanthakumar, kemudian mula mengimbangi perlawanan, namun gagal menghasilkan gerakan yang mengancam Arif Manaf di depan gawang PKNS.

PKNS kembali mendominasi dalam babak kedua dengan beberapa gerakan yang mencemaskan benteng Perak, namun tiada sebarang pertambahan jaringan terhasil.