Pertahanan Kuala Lumpur City, Shukor Adan, mendambakan penutup gemilang kariernya sempena perlawanan akhir Piala Malaysia Edisi Ke-100, malam esok.

Stadium Nasional, Bukit Jalil, bakal menjadi saksi Shukor menggantung but pada usia 42 tahun dan dia mengakui tidak pernah mengimpikan berpeluang berbuat penamat demikian.

"Walaupun kurang minit permainan tetapi jurulatih (Bojan Hodak) tetap percaya dan meletakkan saya dalam skuad. Ia bukan satu perkara yang mudah.

"Kalaulah ditakdirkan KL City FC menang esok, dengan ini saya umumkan persaraan saya dan ini tahun terakhir sebagai pemain bola sepak profesional.





"Ini adalah sesuatu yang saya mahu capai di penghujung karier saya. Jika tidak diturunkan pun, saya tetap berbangga dengan KL City," katanya dalam sidang media pra-perlawanan, hari ini.

Sebelum ini, bekas kapten skuad kebangsaan itu sudah menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu dua bersama Selangor dan dua bersama Negeri Sembilan.

Bekas ketua pasukan kebangsaan itu berkata rakan sepasukannya akan mempamerkan semangat juang tinggi dan mencapai kemuncak prestasi di sebalik reputasi gah Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara Liga Super.

"Jurulatih sentiasa memberi motivasi yang tinggi kepada pemain dan kami menyahut cabaran yang dilontarkan.

"Skuad ini dibarisi pemain muda, jadi mereka semua sudah memberikan yang terbaik.

"Mereka layak untuk berada dalam final," katanya.