Legenda bola sepak Selangor dan Malaysia, Azman Adnan, berasakan The Red Giants mampu memenangi final ke-50 mereka dalam saingan Piala Malaysia menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagaimanapun, keyakinan itu berlandaskan kemampuan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu merantai pergerakan dua tonggak JDT, Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, dia berkata: "Buat barisan pertahanan Selangor, ini adalah perlawanan akhir dan ia sukar dijangkakan.

"Senarai pemain yang akan diturunkan adalah taktikal jurulatih, jadi bagi saya, apa yang perlu dipastikan adalah ia satu perlawanan akhir yang menarik dan Selangor mampu memberikan saingan kepada JDT.

"Untuk mengekang Bergson dan Arif Aiman, jurulatih Selangor pasti lebih tahu bagaimana untuk tidak memberikan ruang kepada kedua-dua pemain ini dan tidak memudahkan mereka bergerak.

"Sudah pasti jurulatih akan memberikan tekanan buat pemain seperti Bergson dan Arif Aiman," katanya.

Azman turut memuji perubahan yang dibawa Cheng Hoe sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor, terutama pendekatannya yang berani menggunakan pemain muda seperti Mukhairi Ajmal Mahadi dan Sharul Nazeem Zulpakar.

"Setiap jurulatih memiliki cara tersendiri tetapi saya harus memberikan pujian kepada Tan Cheng Hoe kerana berani menurunkan pemain muda.

"Pemain muda mempunyai keinginan dan semangat kerana mereka mahu beraksi dalam kesebelasan utama, jadi mereka akan mencuba sedaya-upaya untuk menjadi pemain utama.

"Kalau kita lihat kebelakangan ini, sejak kemasukan Tan Cheng Hoe, Selangor sudah berbeza.

"Dan untuk perlawanan akhir ini, saya 100 peratus yakin pemain Selangor akan turun berjuang habis-habisan kerana saya juga pernah melaluinya," tambahnya.

Kredit foto: Selangor FC