Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), bertekad mengekalkan gelaran 2019 apabila tidak akan memberi sebarang ruang kepada Kuala Lumpur (KL) City dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora, menuntut aksi garang anak buahnya bagi menafikan The City Boys yang dicanang sebagai pencabar 'underdog'.

Menurutnya, mereka ingin menghadiahkan gelaran berganda kepada pihak pengurusan selepas memastikan mahkota Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

"JDT akan menjadi JDT.

"Kami tidak akan berpeluk tubuh dan menunggu sahaja. Kami akan curahkan segalanya , kami akan makan pasukan lawan dan cuba untuk menjaringkan gol.





"Cara untuk menang dalam final adalah mudah, kami perlu menjaringkan gol. Kami bukan setakat mahu beraksi dalam final bahkan ingin memenanginya.

"Sangat penting (misi mempertahankan kejuaraan) bagi mengekalkan mentaliti kemenangan dan produktiviti pasukan. Ia akan meninggalkan legasi yang baik mengenai kemenangan dan kejuaraan.

"Motivasi kami bermula dengan mendapatkan momentum, kemudiannya ia menjadi tabiat dan tradisi sekali gus sebagai satu budaya di sini. Di JDT, kami perlu menang setiap kejohanan dan ini satu tekanan yang amat tinggi.

"Tetapi kami perlu mengharunginya dan memenuhi yang tuntutan pihak pengurusan," katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.