Kedah dinobatkan juara Piala FA Malaysia, kelmarin, namun aksi final FA Indonesia atau digelar sebagai Piala Indonesia yang dijadualkan semalam, terpaksa ditunda berikutan kebimbangan terhadap tahap keselamatan perlawanan akhir kedua itu.

Final kedua Piala Indonesia, yang menggunakan format Piala FA itu di antara pasukan Persija Jakarta dan PSM Makassar, sepatutnya berlangsung jam 3.00 petang waktu Indonesia Barat di Stadium Mattoangin, Makassar, semalam.

Pasukan Persija yang memenangi perlawanan akhir pertama 1-0 di Jakarta, 21 Julai lalu, enggan ke Stadium Andi Mattalatta, Mattoangin atas faktor keselamatan.

Bas yang dinaiki pemain pasukan itu dilempar batu dan objek keras manakala dalam sesi latihan mereka sehari sebelum itu, bas yang dinaiki pasukan itu juga dilempar batu dan objek keras ketika menjalani latihan di stadium berkenaan.

Menurut media tempatan, berikutan insiden ketika sesi latihan pasukan Persija itu, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan aksi akhir kedua itu dilangsungkan tanpa penonton.

Aksi final kemudian ditangguhkan kepada jam 3.30 petang semalam, sebelum Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria, memutuskan aksi final kedua itu ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Sehingga petang ini, PSSI belum mengumumkan jadual baru aksi final kedua itu.

Piala Indonesia 2018-2019 itu ditandingi 128 pasukan daripada Liga 1, 2 dan 3, menerusi format kalah mati.

-- BERNAMA