Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata bahawa Caoimhin Kelleher akan memulakan aksi The Reds menentang Chelsea dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) bulan depan seandainya tahap kecergasan pemain itu mengizinkan.

Penjaga gol Ireland itu merupakan pilihan kedua di belakang Alisson di Anfield tetapi telah beraksi dalam tiga daripada lima perlawanan Piala EFL musim ini, termasuk ketika menewaskan Arsenal 2-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua semalam.

Kelleher telah beraksi sebanyak 15 kali dalam kesemua kejohanan buat Liverpool, di mana bekas pemain kebangsaan Republik Ireland, Shay Given, mencadangkan agar pemain berusia 23 tahun mencari kelab lain bagi mendapatkan lebih peluang beraksi.

Bagaimanapun, Klopp menegaskan sebelum perlawanan pertama menentang Arsenal bahawa Piala EFL merupakan kejohanan buat Kelleher dan Alisson hanya beraksi dalam perlawanan itu -- di mana The Reds terikat 0-0 di Anfield -- kerana pemain Brazil berkenaan memerlukan rentak selepas pulih daripada jangkitan COVID-19.

Bercakap dalam sidang media menjelang kunjungan ke laman Crystal Palace bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok, Klopp ditanya sama ada Kelleher akan mengekalkan tempatnya dalam aksi final di Wembley pada 27 Ferbuari ini, dan dia berkata: "Caoimh akan bermain, jika dia cergas.

"Kami menganggap Caoimh sebagai penjaga gol yang cemerlang dan mahu mengekalkannya di sini, dan untuk mengekalkannya, anda perlu memastikan beberapa perkara.

"Ia tentang bagaimana prestasi anda dan sekiranya dia tidak menunjukkan prestasi seperti apa yang dilakukannya, mungkin saya akan melihatnya secara berbeza. Dia menunjukkan bahawa dia layak menerima kepercayaan yang kami letakkan kepadanya.

"Saya tidak lihat sebarang alasan untuk Caoimh tidak bermain. Dia layak mendapatkannya, dia meletakkan pasukan kami di sana," katanya.