Jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, menegaskan tiada jaminan buat mana-mana pemain importnya bagi perebutan trofi antara zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana, Rabu ini.

Sebaliknya, pengendali dari Croatia itu menuntut kesemua anak buahnya agar terus bersaing merebut tempat dalam dua sesi latihan terakhir sebelum memutuskan taruhan empat pemain asing terbaiknya menjelang pertemuan getir berkenaan.

"Saya ada lima pemain import. Kebiasaannya GG (Giancarlo Gallifuoco) dan Paulo (Josue) yang akan diturunkan.

"Saya juga boleh memilih meletakkan dua penyerang iaitu Jordan Mintah dan (Romel Morales) atau saya mengetengahkan seorang penyerang dan penjaga gol, Kevin Mendoza.

"Ini saya akan putuskan pada saat-saat akhir, sama seperti semua perlawanan terdahulu," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Barisan pemain The City Boys yang tiba di Uzbekistan semalam dalam usaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negara itu.





Hodak percaya anak buahnya mampu menangani situasi berkenaan bagi menjelmakan persembahan terbaik masing-masing dalam perlawanan itu kelak.

"Persediaan kami membabitkan kombinasi fizikal serta taktikal dan sudah tentu cuaca di sini.

"Kami akan mengadakan satu lagi latihan ringkas sebelum membincangkan taktik.

"Tidak banyak yang boleh dilatih di sini kerana semua orang pasti sedang memerhati.

"Tapi saya fikir sudah lama dibentuk dan mereka faham apa yang kami mahukan," katanya lagi.