Felda United yang kini dibimbing B. Sathianathan melakukan beberapa pertukaran di kalangan barisan kejurulatihan skuad utama, Piala Presiden dan remaja kelab itu, semalam.

Pihak pengurusan Felda mengekalkan Mohd Nik selaku penolong ketua jurulatih dan M. Dharmendra sebagai jurulatih kecergasan.

Namun, pengendali skuad Piala Presiden Felda United yang juga merupakan bekas kapten skuad kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, kini bergelar penolong kedua dalam skuad utama dan Zuraimi Hassan kini bertindak sebagai jurulatih penjaga gol pasukan.

Penolong jurulatih sebelum ini, Ahmad Fairuz Yunus dan jurulatih penjaga gol, Othman Katmon, pula akan mengendalikan skuad Piala Presiden The Fighters.

"Matlamat utama pasukan pembangunan adalah untuk melahirkan pemain-pemain Liga Super.

"Dalam tempoh lima tahun ini, tidak ada seorang pun yang dinaikkan dalam skuad Piala Presiden, jangan kata ke Liga Super," ujarnya.

Aspek kecergasan menjadi tumpuan Sathianathan dalam tempoh rehat sebulan ini dalam usaha kelab itu menambah keampuhan pasukan dalam saingan Liga Super.

"Kami akan tekankan aspek kepantasan dan kemahiran selain falsafah kami dalam bola sepak.

"Saya tidak berminat dengan corak permainan hantaran jauh, saya mahu menerapkan permainan hantaran pendek.

"Kami perlu gunakan cuti panjang liga kali ini untuk menerapkan konsep yang kami mahukan."