CERES NEGROS 0 FELDA UNITED 0

Peluang Felda United dalam saingan Piala AFC tampak semakin sempit apabila gagal mencipta kemenangan sulung, sekaligus menyukarkan peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Ceres Negros di Stadium Pana-ad Bacolod, Filipina.

Percubaan kali ketiga The Fighters memburu kemenangan dalam Kumpulan G menyaksikan mereka mahu segera mencipta impak luar biasa ketika beraksi di tempat lawan, malam ini.

Pasukan bimbingan B. Sathianathan itu turun dengan semangat tinggi bagi memadam kekecewaan aksi terdahulu -- kemenangan mereka diragut Hanoi FC yang menyamakan kedudukan 1-1 dalam masa kecederaan.

Bagaimanapun, gandingan Lucas Cano, Zah Rahan Krangar serta Norshahrul Idlan Talaha di jentera serangan gagal menembusi benteng Ceres dalam tempoh 45 pertama permainan.

Felda memiliki peluang keemasan untuk memecah kebuntuan apabila memperoleh sepakan penalti susulan kekasaran pemain lawan ke atas Norshahrul pada minit ke-59.

Namun, tanggungjawab itu gagal disempurnakan oleh Lucas Cano apabila tendangan rendahnya dapat dibaca oleh penjaga gol Ceres, Roland Muller.

Hujan lebat yang tiba-tiba mencurah dalam baki perlawanan memperlahankan tempo permainan sehingga menyukarkan kedua-dua pasukan dalam menyusun serangan.

Dengan peluang yang semakin terhad, perlawanan berakhir dengan kekecewaan buat Felda yang kini terperosok di tangga tercorot.

Sementara itu dalam aksi perlawanan Liga Perdana yang berlangsung petang tadi di Petaling Jaya, Sabah semakin terancam ke Liga FAM apabila tumbang 3-1 kepada MISC-MIFA.

Kemenangan itu membolehkan MISC-MIFA keluar dari zon penyingkiran dengan mengumpul enam mata -- kelebihan dua mata di atas Sabah.


Kredit imej: Felda United FC