"Tiada istilah beri ihsan dalam kamus hidup saya!" itu pengakuan jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim, apabila tetap menginginkan kemenangan dalam aksi Liga Super menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Dengan 42 mata, kedudukan The Fighters di tangga kedua liga tidak lagi boleh digugat pencabar terdekat, Kedah mahupun Selangor.

Irfan menjangkakan kebangkitan anak didiknya selepas aksi longlai yang dipamerkan kebelakangan ini, lebih-lebih lagi tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, minggu lalu.

"Kebetulan ini perlawanan terakhir kami untuk musim ini di Jengka.

"Sudah lima perlawanan kami gagal mencapai kemenangan, jadi esok adalah misi wajib menang dengan Sarawak.

"Kami tidak akan memberi laluan mudah buat Sarawak," kata Irfan.

Jurulatih berpengalaman itu juga mendedahkan, pemain kini dalam moral yang tinggi untuk memulihkan maruah mereka yang tercalar sebelum ini selain menyedari Sarawak mempunyai misi tersendiri untuk mengelak zon penyingkiran.

"Kami berlatih hari ini pun dengan semangat yang tinggi.

"Kami mahukan tiga mata lagi untuk menambah mata walaupun kedudukan dalam liga kami tidak terjejas."