Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, berharap badi Piala FA yang menimpa dirinya sejak 2010 mampu dilenyapkan selepas dua pasukan yang dibimbingnya sebelum ini, Kelantan dan ATM FA, tersingkir awal.

Jika rekod Sathianathan cukup cemerlang di pentas liga dan Piala Malaysia, ia jauh berbeza dalam saingan Piala FA.

Justeru, Sathianathan berharap sejarah hitam bersama Kelantan dan ATM tidak lagi berulang apabila bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam menentang Felcra FC, malam esok.

"Kami (Kelantan) kalah kepada Kedah menerusi peraturan gol di tempat lawan dalam pusingan ketiga.
Semasa mengendalikan ATM, kami tewas kepada T-Team dalam masa tambahan.

"Memang saya tidak bernasib baik dalam Piala FA," katanya.

Dalam masa sama, Sathianathan menganggap pertemuan yang dilabel aksi 'derby' tanah rancangan itu bertambah menarik.

Malah, dia berpendapat Felcra lawan yang sukar untuk ditundukkan kerana berdasarkan aksi dalam Liga Perdana, mereka sering kali bangkit pada lewat permainan.

"Kami pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Felcra, memang sukar.

"Kami hanya menang 1-0 dan mereka mencipta banyak peluang.

"Mereka mempunyai dua pemain import bagus (Anselmo Arruda Da Silva dan Endrick Santos) yang pernah bermain untuk Kuala Lumpur pada musim lepas. Sampai sekarang saya tidak faham mengapa mereka berdua dilepaskan," katanya lagi.