Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima $201 juta (RM847j) sebagai pampasan atas kegiatan jenayah bekas pegawainya.

Pada 2015, badan peneraju bola sepak dunia itu diserbu oleh pihak berkuasa Switzerland bagi pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dengan Sepp Blatter antara lebih 40 pegawai yang didakwa.

Semalam, badan induk dunia itu mengesahkan Jabatan Kehakiman AS telah memberikan pakej pampasan sebanyak RM847j kepada Yayasan FIFA.

Jumlah ini -- dirampas daripada akaun bank pegawai yang diadili -- meliputi kerugian yang dialami oleh FIFA, Persekutuan Bolasepak Amerika Utara (CONCACAF) dan Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) sebagai "mangsa skim rasuah bola sepak selama sedekad".

FIFA mengesahkan wang itu akan dimasukkan ke dalam Dana Remisier Bola Sepak Dunia yang baru dibentuk untuk membantu membiayai projek berkaitan bola sepak.

"Saya gembira melihat wang yang dikeluarkan secara haram daripada bola sepak kini kembali digunakan untuk tujuan yang sewajarnya menjadi agenda utama," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

"Saya ingin berterima kasih kepada pihak berkuasa Kehakiman AS atas usaha mereka dalam hal ini kerana pendekatan mereka yang pantas dan berkesan dalam membuat kesimpulan ini, selain atas kepercayaan mereka secara umum hasil campur tangan mereka pada 2015.

"Kami secara dasarnya dapat mengubah FIFA daripada organisasi beracun pada masa itu untuk menjadi sebuah badan pengelola sukan global yang sangat dihargai dan dipercayai.

"Syukurlah, kita telah melewati tempoh malang ini dan ia sudah sejarah sekarang dan sangat lega dapat melihat dana besar dikeluarkan oleh Yayasan FIFA. Ia mampu membawa kesan positif kepada banyak pihak di seluruh dunia bola sepak, khususnya melalui program belia dan masyarakat."

Dalam kenyataan berasingan, CONMEBOL mengesahkan bahawa ia akan menerima $71j (RM299.1j) daripada pakej itu.

CONMEBOL menyatakan akan menggunakan dana ini untuk kem remaja, pendidikan, kursus pengadil dan latihan, program kemasyarakatan dan bola sepak wanita.