Edinson Cavani dan Diego Godin antara empat pemain yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara kelakuan mereka sewaktu Uruguay tersingkir daripada Piala Dunia Qatar bulan lalu.

La Celeste gagal melepasi saingan Kumpulan H di Qatar walaupun menewaskan Ghana 2-0 dalam perlawanan terakhir, di mana Korea Selatan meneruskan kemaraan berdasarkan perbezaan jaringan.

Pemain Uruguay kelihatan tidak dapat menerima kenyataan apabila Cavani tidak diberikan sepakan penalti selepas dijatuhkan di kawasan Ghana pada lewat permainan, di mana penyerang Valencia itu kemudian menolak jatuh monitor video bantuan pengadil (VAR) selepas wisel penamat sambil rakan sepasukannya mengerumuni pengadil, Daniel Siebert.

FIFA awal pagi tadi mendedahkan bahawa Cavani dan ketua pasukannya, Godin, dikenakan penggantungan satu perlawanan selain turut perlu melakukan khidmat bola sepak kemasyarakatan dan membayar denda sebanyak CHF15,000 (RM69,017).

Pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez, dan penjaga gol Galatasaray, Fernando Muslera, dikenakan hukuman lebih berat dengan penggantungan empat perlawanan berserta denda CHF20,000 (RM92,022) selain turut perlu melakukan khidmat masyarakat.

Jawatankuasa Disiplin FIFA turut mendapati Persatuan Bolasepak Uruguay bertanggungjawab terhadap kelakuan diskriminasi penyokong mereka dalam perlawanan pada 2 Disember lalu itu, termasuk kelakuan pemain mereka.

Ia menyaksikan FA Uruguay menerima hukuman untuk beraksi satu perlawanan dalam stadium separa tertutup tanpa ada penonton di belakang gawang gol.

Persatuan itu turut dikenakan denda sebanyak CHF50,000 (RM230,056.63).