Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menjemput kesemua badan induk bola sepak seluruh dunia untuk menyertai satu sidang kemuncak secara dalam talian pada 30 September ini bagi membincangkan mengenai perancangan menganjurkan Piala Dunia secara dua tahun sekali.

FIFA, yang diketuai oleh Ketua Pembangunan Bolasepak Global, Arsene Wenger, mempromosikan idea rombakan format Piala Dunia untuk dianjurkan secara dwitahunan.

Cadangan Wenger itu akan menyaksikan terdapat final kejohanan utama berlangsung setiap tahun sambil bekas pengurus Arsenal itu berkata pemain akan tetap beraksi dalam kejohanan lain sekalipun ia bukannya Piala Dunia.

Bagaimanapun, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) menolak cadangan itu berikutan keterbatasan jadual perlawanan tetapi FIFA kini akan memanggil dua badan induk itu -- bersama kesemua wakil persatuan dan liga dari seluruh dunia -- untuk berbincang lebih lanjut mengenai cadangan berkenaan.

"Terdapat konsensus yang meluas dalam sukan ini bahawa Kalendar Perlawanan Antarabangsa sepatutnya dirombak dan ditambah baik," kata FIFA dalam satu kenyataan.

"Susulan jemputan buat pemegang taruh, termasuk kesemua kesatuan, pada awal bulan ini, perbincangannya sedang diatur dalam beberapa minggu ini.

"Ini merupakan satu daripada beberapa peluang untuk mengadakan perbincangan yang konstruktif dan terbuka, di peringkat global dan serantau, sepanjang beberapa bulan mendatang dan FIFA sedang menantikannya.

"Memandangkan ini adalah projek bola sepak, di mana kepentingan bola sepak global harus didahulukan, proses ini akan dimulakan dengan pemain dan jurulatih dari seluruh dunia. Perbahasan ini juga akan melibatkan peminat dari seluruh dunia.

"FIFA komited untuk menjadi forum perbahasan penuh bermakna ini dengan penglibatan besar pemegang taruh, termasuk peminat, dan berharap dapat membincangkan mengenai pembangunan bola sepak mampan di semua wilayah dunia dan di semua peringkat."