Penyerang Negeri Sembilan, Ferris Danial Mat Nasir, mengidamkan untuk membawa skuad Jang itu ke suku akhir Piala Malaysia biarpun perlu menundukkan Kedah dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Alor Setar malam ini.

Persaingan untuk ke suku akhir dalam Kumpulan A masih terbuka buat Negeri Sembilan dan Terengganu FC manakala Kedah sudah terlebih dahulu mengesahkan kemaraan.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan perlu mengharapkan keajaiban di Alor Setar sambil turut berharap Terengganu tewas kepada PKNS FC.

Ia disebabkan mereka hanya mengumpulkan enam mata dan ketinggalan tiga mata di belakang skuad Peteh itu.

"Kami akan mengikut perancangan jurulatih.

"Insya-Allah, kalau tiada apa-apa, kami akan berjuang habis-habisan dan bersabar.

"Kami boleh menang," katanya.

Biarpun ia misi yang sukar, Ferris Danial yakin Negeri Sembilan mampu mencipta kejutan selepas cemerlang menundukkan PKNS FC, Jumaat lalu.

Dalam perlawanan itu, dia menyumbangkan satu gol bagi membantu kemenangan 3-1 pasukannya.

"Saya sebenarnya hanya mengikut perancangan jurulatih dan Alhamdulillah berhasil.

"Kami bermain sebagai satu pasukan, itu sahaja," tambahnya.