Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan, menyifatkan kehadiran Fábio Ferreira akan membantu Patrick Ronaldinho dan Safee Sali dalam meningkatkan peluang menjaringkan gol dalam aksi separuh kedua Liga Super.

Bekas pemain Central Coast Mariners dalam saingan Liga Australia ini mampu beraksi di beberapa posisi berbeza di bahagian serangan dan tengah.

Bagi Elavarasan, Ferreira mampu melakukan hantaran akhir di bahagian serangan yang mampu mencetuskan jaringan.

"Pengalaman beraksi di Australia dengan kualiti yang dimilikinya mampu membantu jentera serangan.

"Kalau diteliti semula aksi dalam pusingan pertama Liga Super, jelas ada kekurangan, terutama dalam memburu gol. Jadi, kemasukan Fereira mampu membantu kami," jelasnya.

Elavarasan menyifatkan Fereirra serta dua import baru, Park Kwang-il dan Abdou Jammeh, mampu menghadirkan keseimbangan dalam pasukan.

Kriteria utama pemilihan Elavarasan kali ini adalah mencari pemain yang mampu beraksi sebagai satu pasukan.

"Bagi saya, tiga pemain baru ini merupakan pemain yang mampu bekerja sebagai satu unit.

"Jika mereka beraksi sebagai pemain individu, ia akan memberi masalah kepada kami. Jadi, kami memberi fokus dalam bekerjasama sebagai satu pasukan," tambahnya.