Pep Guardiola khuatir Ferran Torres mungkin terpaksa diketepikan hingga Januari depan selepas penyerang Manchester City itu mengalami kecederaan serius metatarsal di jari kaki kanannya.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan dalam kemenangan separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) Sepanyol 2-1 ke atas Itali, malah menamatkan 84 minit permainan dalam kekalahan final 1-2 kepada Perancis.

Imbasan yang dijalaninya di peringkat kelab menunjukkan tulang kecilnya itu patah, lantas bekas pengurus Bayern dan Barca berkenaan mencadangkan anak buahnya tersebut perlu menunggu lebih lama untuk kembali.




"Torres akan tersisih mungkin selama dua bulan setengah hingga tiga bulan lamanya," kata Guardiola dalam sidang akhbar malam tadi.

"Kecuali Ferran, anggota selebihnya baik-baik saja. Kecederaan yang dialaminya adalah metatarsal di tahap empat."

Guardiola tidak menyalahkan jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, sambil memberi kepercayaan penuh terhadap bekas rakan sejawatannya di Barcelona itu.

"Kecederaan boleh berlaku di sini, di tempat sendiri mahupun dengan pasukan kebangsaan. Saya amat mengenali Luis Enrique, dia akan melayani pemain dengan sebaik mungkin," katanya lagi.

"Dia pasti tidak mahu Ferran tercedera. Mereka cuba berjaga-jaga kadang-kadang ia masih boleh berlaku. Ia berlaku ke atas Belgium yang membabit Kevin (De Bruyne) termasuk Phil (Foden) dengan England.

"Adalah lebih baik ia tidak berlaku tetapi malangnya ia terjadi jua. Dia akan menghabiskan beberapa minggu di Sepanyol sebelum kembali dan dengan harapan akan pulih dalam masa dua, tiga bulan lagi."

Guardiola mengatakan dia gembira ekoran Oleksandr Zinchenko dan Ilkay Gundogan sudah pulih daripada kecederaan ringan dan kembali berlatih dalam persiapan menjadi tuan rumah kepada Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Namun, pemain antarabangsa Brazil, Ederson dan Gabriel Jesus, akan terlepas perlawanan selepas turun dalam kelayakan Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan.

"Mereka beraksi di Brazil, semalam, mereka tidak dapat terbang kembali (tepat pada waktunya)," katanya.

Ketika ditanya apakah mereka akan bersedia untuk kempen Liga Juara-Juara (UCL) menentang Club Brugge, Rabu depan, Guardiola mengulas: "Mungkin, saya belum pasti."