Setiausaha Teknikal Barcelona, Robert Fernandez, menafikan dakwaan yang mengatakan kelab itu akan menjual bintangnya, Neymar, atau menandatangani penyerang Juventus, Paulo Dybala.

Neymar, 25, kerap dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Tetapi Fernandez berkata tidak ada peluang untuk Neymar, yang mempunyai kontrak sehingga pertengahan 2021, untuk meninggalkan Camp Nou.

"Dia benar-benar tidak boleh berpindah," katanya kepada RAC1, hari ini.

Barca dikatakan mempertimbangkan untuk membawa masuk Dybala, bintang Juve yang membantu menyingkirkan gergasi LaLiga itu dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, Fernandez berkata ia tidak mungkin diminati Barca yang sudah mempunyai Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

"Dia seorang pemain yang hebat tetapi kami sudah mempunyai tiga (penyerang) terbaik di dunia," katanya.

Messi dan Suarez secara keseluruhan telah menjaringkan 55 gol liga pada musim ini manakala Neymar telah menambah sembilan.

Pemain antarabangsa Brazil itu telah membuat 10 bantuan gol untuk Barca dalam liga manakala Suarez 12.